ANDAI SEMUA ITU BELUM CUKUP!
Bagaimana kita menanggapi sekian banyak 'teguran' dari ALLAH SWT ini. Adakah cukup dengan rasa sedih dan pilu tatkala menghitung angka korban, jumlah kerugian harta benda, atau hanya memanjangkan perdebatan tentang siapakah yang bertanggungjawab atas kerosakan dan kehilangan nyawa, sekadar itu?
Atau pernahkah kita meneliti dan mempelajari hikmah disebalik semua musibah ini: tsunami Aceh 2004 yang sangat menggerunkan, diikuti gempa bumi yang dahsyat di sana sini, dengan sekian banyak ‘ayat-ayat-NYA' yang terserlah dari setiap peristiwa yang terjadi, sungguh mudah dan cepat kita melupakannya, tidak ada iktibar yang singgah menginsafkan kita untuk kembali kepada-NYA..renungkanlah!
Angka korban meningkat
PADANG: Pesawat dan helikopter yang penuh dengan pekerja penyelamat dan bekalan bantuan mendarat buat kali pertama di kepulauan pedalaman Indonesia semalam selepas kawasan berkenaan dilanda tsunami setinggi tiga meter lewat Isnin lalu, meragut sekurang-kurangnya 311 nyawa.
Seramai 160 cedera manakala 410 lagi hilang.
Gambar pertama yang dirakam menerusi udara menunjukkan sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air dan tempat kediaman musnah akibat dipukul ombak besar itu.
Ia satu daripada dua bencana yang melanda Indonesia dalam tempoh 24 jam. Gunung berapi paling aktif di negara itu, Gunung Merapi yang terletak kira-kira 1,300 kilometer ke timur Sumatera meletup petang kelmarin, mengeluarkan asap dan menyebabkan 30 orang terbunuh.
Kedua-dua kejadian itu berlaku di sepanjang Lingkaran Api yang terdedah kepada gempa bumi dan kegiatan gunung berapi.
Sejak gempa melanda Kepulauan Mentawai malam Isnin lalu, ombak kuat dan cuaca buruk menjejaskan operasi menyelamat, menyebabkan penduduk terpaksa berdikari untuk menyelamatkan diri.
Tanpa tenaga secukupnya untuk menggali kubur, mayat terbiar bergelimpangan di kawasan pantai dan jalan raya, kata ketua daerah di kepulauan itu, Edison Salelo Baja.
Pegawai bantuan bencana masih berusaha menjejaki lebih 12 kampung di kawasan paling teruk terjejas di Kepulauan Mentawai, destinasi popular untuk peluncur ombak.
Kawasan itu hanya boleh dimasuki dengan menaiki bot selama 12 jam.
Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatan, Mujiharto berkata, pegawai bantuan membawa bersama-sama mereka beratus-ratus beg mayat.
Gempa dengan magnitud 7.7 itu yang melanda lewat Isnin lalu berlaku 20 kilometer di bawah dasar lautan. Ia diekori dengan sekurang-kurangnya 14 gegaran susulan dengan yang terkuat berukuran 6.2.
Ketua Pusat Pengurusan Bencana Sumatera Barat, Harmensyah berkata, jumlah korban akibat tsunami itu meningkat kepada 311 orang dan lebih 400 penduduk hilang.
Pegawai berkata, beratus-ratus rumah kayu hanyut di Pulau Pagai dengan sebahagian besar kawasan pertanian dan jalan raya ditenggelami air.
Di Muntei Baru, sebuah kampung di Pulau Silabu, 80 peratus kediaman rosak teruk.
Kedua-dua pulau itu adalah sebahagian daripada kepulauan Mentawai, kira-kira 270 kilometer dari pantai barat Sumatera. - AFP
Sesungguhnya saya kesal, kecewa dan dukacita membaca laporan akhbar yang menyebut bahawa kerajaan berhasrat
menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Laporan berkenaan boleh didapati di sini.
Tidak cukupkah lagi lambakan pusat-pusat hiburan yang melalaikan yang wujudnya bak cendawan tumbuh selepas hujan, sehingga perlu ditambah dan diperhebatkan?
Tidak sedarkah lagi dengan keruntuhan akhlak dan moral masyarakat yang tergambar dari kes-buang bayi, zina dan pergaulan bebas, pembunuhan kejam, samun dan rompakan dan lain-lain kejahatan yang menghakis damai dan tenang dari kehidupan seharian?
Andai tsunami Aceh masih belum mampu menyedarkan, andai gempa di sana sini belum cukup menginsafkan, bimbanglah....khuatirlah...., bahawa ALLAH sangat mampu ‘mengingatkan’ kita dengan sesuatu yang lebih besar, lebih hebat dan lebih memusnahkan dari semua bencana alam yang pernah berlaku sebelum ini.
Sesungguhnya kami berlindung hanya kepada-MU ya ALLAH...kerana kami sedar :
انا لله وانا اليه راجعون
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
No comments:
Post a Comment